Selasa, 25 Oktober 2011

Pengenalan




PB-2301
KOMUNITI DAN TEKNOLOGI

Tajuk : Baju Kurong


Baju kurong merupakan salah satu baju tradisi masyarakat kita,kebanyakannya puak Melayu Brunei. Ia adalah warisan tradisi turun-temurun nenek moyang kita yang masih kekal hingga kini. Namun, baju kurong telah mengalami banyak perubahan mengikut peredaran zaman.

Oleh itu,perkara ini menjadi tarikan pengkaji iaitu Muhamad Najmuddin Mohammad (10B1114) dan Nur Aqilah Maidin (10B1153) daripada Mahasiswa/mahasiswi Universiti Brunei Darussalam bagi Modul PB-2301 Komuniti Dan Teknologi yang dipimpin oleh Pensyarah Akademi Pengajian Brunei, Pengiran Khairul Rijal Bin Pengiran Haji Abdul Rahim.




Dalam kajian ini, tumpuan utama pengkaji adalah untuk melihat perkembangan serta perubahan yang berlaku  ke atas Baju Kurong, yang di bawa oleh arus kemodenan. Selain daripada itu, pengaruh daripada luar juga memberi impak yang besar terhadap Baju Kurong. Antara impak yang dimaksudkan itu ialah, pengaruh yang menyebabkan keaslian Baju Kurong semakin hilang. Sebagai contoh, pengaruh daripada negara jiran, Malaysia, Indonesia, Fillipina dan negara serantau yang lainnya.

Sebelum menyentuh lebih lanjut mengenai perkembangan Baju Kurong, pengkaji terlebih dahulu menerangkan mengenai sejarah serta latar belakangnya. Selain daripada itu,pengkaji juga melihat ciri-ciri yang ada pada Baju Kurong dahulu. Proses pembuatannya juga dikaji, ini termasuk bahan-bahan untuk menghasilkan Baju Kurong dan peralatan yang digunakan untuk membuat Baju Kurong. Semua ini bertujuan agar kita dapat melihat akan perbezaan serta perkembangan di antara Baju Kurong dahulu dengan sekarang.

Kajian ini juga bertujuan untuk melihat kemampuan Baju Kurong dalam era moden yang menghadapi cabaran dan saingan dengan pakaian yang ada pada masa kini. Dari sini dapat dilihat sama ada Baju Kurong itu akan dapat berada dalam pasaran tempatan malahan luar negara dengan masih mengekalkan keasliannya.

Akhirnya, dapatlah kita lihat apa yang patut di lakukan oleh pihak-pihak yang tertentu untuk mempertahankan keunggulan dan keunikan Baju Kurong agar ia tetap berkekalan di Negara kita sebagai pakaian kebangsaan Negara Brunei Darussalam.