Video Klip







Secara keseluruhannya, informan menyatakan bahawa Baju Kurong tidak menjadi baju harian kerana perubahan zaman dan cabaran pada masa kini. Kebanyakan berpendapat, wanita Melayu pada masa kini berbeza dengan wanita pada zaman dahulu. Wanita kini berpendidikan tinggi dan mempunyai karier berbanding dengan wanita dahulu yang hanya mengerjakan kerja rumah seperti memasak, membasuh dan sebagainya. Ada juga berpendapat bahawa Baju Kurong tidak menjadi baju harian kerana pemikiran generasi muda yang menganggap Baju Kurong asli tidak sesuai pada zaman ini. Di samping itu kebanyakan wanita pada masa kini lebih cenderung ke arah aktiviti yang mencabar dan lasak. Oleh itu, bagi mereka, Baju Kurong hanya menghadkan pergerakan mereka.


Sebahagian informan menyatakan bahawa potongan Baju Kurong pada masa kini tidak jauh berbeza dengan Baju Kurong yang asli, hanya terdapat perbezaan pada fabrik yang digunakan untuk membuatnya. Menurut informan juga, Baju Kurong pada masa kini lebih memperlihatkan keanggunan, keayuan dan kecantikkan si pemakainya, bukannya kesopanan, keaslian yang dipamerkan pada Baju Kurong dahulu. Akan tetapi ada di antara mereka yang berpendapat Baju Kurong pada masa kini telah hilang keasliannya kerana ia sudah diubah suai dan ada yang menyatakan Baju Kurong pada masa kini tidak lagi dinamakan sebagai "Baju Kurong" tetapi "Baju Fesyen".


Pandangan informan terhadap kedudukan Baju Kurong samaada ia mampu untuk bertahan pada masa yang akan datang, sebahagiannya berpendapat bahawa Baju Kurong akan kekal kerana negara kita Brunei Darusalam berfalsafahkan dan berkonsepkan Melayu Islam Beraja (MIB). Selain daripada itu majoriti penduduk di negara ini ialah bangsa Melayu, oleh itu jika tidak ada Melayu, Baju Kurong akan hilang, lebih-lebih lagi Baju Kurong merupakan baju tradisi dan warisan bangsa kita. Akan tetapi ada daripada mereka berpendapat bahawa Baju Kurong tidak akan kekal dalam jangka masa 20 tahun akan datang kerana faktor perubahan zaman.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan