Sejarah dan latar belakang

Baju kurong telah lama bertapak di negara Brunei Darussalam sehingga ia menjadi pakaian kebangsaan Negara. Ia digunakan semasa majlis-majlis tertentu seperti majlis Adat Istiadat Negara, majlis Perkahwinan dan sebagainya. Akan tetapi, pada masa dahulu baju kurong juga dipakai sebagai pakaian harian masyarakat Melayu Brunei. 

Hasil daripada penyelidikan pengkaji, ia digelar ‘Baju Kurong’ kerana baju itu dikurong iaitu dipakai terus ke tubuh badan. Ini kerana, ia mempunyai lubang besar di bawahnya dan lobang kecil di atas tanpa zip. Potongannya tidak mengikut susuk badan.

Permulaan Baju kurong adalah daripada Malaysia yang diperkenalkan sejak tahun 1900-an. Ia mula dipakai di negara-negara Melayu seperti Brunei Darussalam, Malaysia, Singapura dan setengah kawasan di Indonesia tetapi tidak ada tarikh yang tetap bila Baju Kurong mula bertapak di Negara Brunei Darussalam.
Islam banyak mempengaruhi penggunaan Baju Kurong. Ini adalah kerana dalam Islam, bagi lelaki, diwajibkan menutup daripada pusat hingga lutut, manakala perempuan diwajibkan memakai pakaian yang menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan dua tapak tangan.



Baju Kurong adalah merupakan Baju kebangsaan bagi kaum wanita di Negara Brunei Darussalam. Ia digunakan sebagai pakaian kerja terutama yang bekerja di sektor kerajaan dan merupakan seragam sekolah di negara ini.


Baju Kurong panjangnya hingga paras lutut dan mempunyai lengan yang panjang serta memakai sarung ataupun kain sehingga paras buku lali. Baju Kurong sering digunakan dengan menggunakan tudung ataupun penutup kepala. Baju dan kain Baju Kurong juga kebiasaannya menggunakan corak kain yang sama (seperampun).




Semasa majlis adat istiadat negara. Para jemputan yang dijemput hadir pada hari tersebut yang terdiri daripada kalangan orang biasa akan memakai Baju cara Melayu bagi jemputan lelaki  dan berbaju kurong bagi jemputan wanita. Mereka akan menggunakan pakaian  (cara Melayu dan Baju kurong) yang berwarna Hitam semasa waktu siang, manakala memakai pakaian (cara Melayu dan Baju kurong) yang berwarna Putih pada waktu malam.


Dari penjelasan di atas, jelaslah bahawa secara tidak langsung Baju Kurong sememangnya mempunyai sifat-sifat kemelayuan, keislaman dan keberajaannya. Di sini dapat dilihat Baju Kurong menerapkan konsep negara kita, Brunei Darussalam iaitu Melayu Islam Beraja (MIB). Tambahan lagi, seperti yang dinyatakan di atas, Baju Kurong dijadikan sebagai Baju kebangsaan negara yang jelas menunjukan hasrat negara untuk mengukuhkan konsep Melayu Islam Beraja.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan